LATAR BELAKANG

Penubuhan PUSPANITA merupakan satu lagi detik bersejarah dalam pembangunan wanita di negara ini. Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia merupakan tulang belakang jentera kerajaan bagi pelaksanaan segala dasar dan rancangan yang diwujudkan oleh kerajaan. Pada awal tahun 1980-an, jumlah pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam Malaysia dianggarkan berjumlah kira-kira 700,000 orang, tidak termasuk tentera dan polis. Cetusan idea penubuhan PUSPANITA telah diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir bin Mohamad yang ketika itu menjawat Menteri Pelajaran selepas bercuti di Indonesia. Sepanjang percutian tersebut, mereka telah disambut oleh Dharma Wanita Persatuan. Oleh kerana upacara sambutan yang begitu baik serta layanan yang mesra kaum wanita di sana, Tun Mahathir kemudiannya menyarankan kepada Tun Dr.Siti Hasmah untuk mewujudkan satu persatuan sedemikian di Malaysia khas untuk kaum wanita. Dengan bantuan Dato’ Dr. Noor Laily Haji Abu Bakar yang ketika itu merupakan ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Tun Dr Siti Hasmah telah merealisasikan penubuhan PUSPANITA. PUSPANITA telah dilancarkan dengan rasminya oleh Tun Dr Siti Hasmah pada 1 Mac 1983. Ketika itu selain daripada beliau sendiri menjadi Penaung PUSPANITA yang pertama, berdasarkan Perlembagaan Tan Sri Hashim Aman, Ketua Setiausaha Negara adalah Penasihat dan isteri beliau Puan Sri Zawiyah binti Yacob adalah Yang Dipertua PUSPANITA yang pertama. Dato’ Dr. Laily Dato’ Haji Abu Bakar pula telah dilantik sebagai Setiausaha Agong Kehormat yang pertama.

Tun Dr Siti Hasmah selaku Penaung PUSPANITA Kebangsaan yang pertama sendiri telah meneliti aktiviti yang dijalankan oleh persatuan-persatuan seperti BAKAT (Badan Amal dan Kebajikan Angkatan Tentera), PERKEP (Persatuan kebajikan Isteri-isteri polis), PELITAWANIS (Persatuan Wanita Lembaga Letrik Negara), dan lain-lain pertubuhan wanita yang telah diwujudkan. Pertubuhan seperti ini dapat memberi sokongan dan sumbangan positif terhadap usaha-usaha kerajaan membangunkan negara. Oleh yang demikian, dengan wujudnya PUSPANITA, para isteri dan angota wanita setiap lapisan Perkhidmatan Awam bukan sahaja dapat bertukar-tukar fikiran, tetapi juga dapat menjalankan aktiviti-aktiviti sosial dan amal kebajikan, serta mendalamkan ilmu pengetahuan, melalui kursus-kursus latihan.


Melalui PUSPANITA juga para isteri akan dapat memahami dengan lebih mendalam tugas para suami. Justeru penubuhan PUSPANITA amat sesuai sekali dan tepat pada masanya memandangkan semua pagawai dan kakitangan kerajaan, yang bekerja dengan penuh cekap, bersih dan amanah, memerlukan persefahaman dan sokongan moral daripada isteri.


Comments